Wednesday, October 26, 2011

HIMPUN- Selamatkan Akidah Umat

 Bismillahirrahmanirrahim..

Pada 22 Oktober 2011 bersamaan 24 Zulkaedah yang lepas, telah berlangsungnya satu peristiwa yang bersejarah bagi pejuang-pejuang di Malaysia iaitu Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) di Stadium Shah Alam, Selangor.



Di sini, saya senaraikan 10 deklarasi HIMPUN untuk kita sama-sama fahami dan hayati. 

Bahawa kami pada hari ini, 24hb Zulkaedah 1432H bersamaan 22hb Oktober 2011 di Stadium Shah Alam, Selangor Darul Ehsan, di dalam Himpunan Sejuta Umat Selamatkan Aqidah (HIMPUN), bersepakat dan mengambil ketetapan untuk:

PERTAMA:

Menyeru agar semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tubuh negeri.


KEDUA :
Kerajaan yang memerintah baik di peringkat pusat mahupun negeri mestilah memastikan bahawa sensitiviti yang tertinggi di dalam Islam dan perlembagaan sebagai pedoman yang tertinggi di dalam negara ini dihormati.  Sebarang bentuk pelanggaran termasuk menghina  dan mencabar kedudukan Islam hendaklah dihukum berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.


KETIGA :
Menuntut supaya kerajaan dalam usaha memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri hendaklah memastikan supaya UNDANG-UNDANG PENCEGAHAN yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam perlembagaan dapat dimasukkan sebagai kandungan utama.


KEEMPAT :
Menuntut supaya KERAJAAN mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus untuk mencegah dan membendung gejala murtad dan kegiatan memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.


KELIMA :
Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk memastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.


KEENAM :
Meminta kerajaan supaya mengadakan program-program penerangan yang menyeluruh dan berkesan di setiap saluran supaya masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara kita dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara untuk menghilangkan prasangka buruk dan kekeliruan terhadap Islam.


KETUJUH :
Menyeru kepada seluruh pertubuhan politik dan bukan politik supaya meletakkan Islam sebagai agenda tertinggi dan utama melebihi kepentingan yang lain serta mengambil sikap yang serius terhadap sebarang usaha untuk mengganggu-gugat kesucian Islam.


KELAPAN :
Menyeru semua institusi dalam masyarakat terutamanya IBUBAPA mengambil tanggungjawab yang tegas di dalam mendidik anak-anak dengan kefahaman Islam yang syumul agar dapat membentengi anak dan waris terdekat daripada terjebak di dalam aktiviti pemesongan aqidah.


KESEMBILAN :
Menggesa kerajaan supaya memantau dan mengawal aktiviti pihak media samada media cetak, media elektronik dan media baru. Sebarang bentuk penyiaran yang menyimpang dan menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada.


KESEPULUH :
Menyeru seluruh umat Islam yang hadir dalam perhimpunan  ini mahupun yang tidak dapat hadir,  melupakan segala perbezaan fahaman politik dan lain-lain hambatan untuk bersama-sama BERSATU menyongsong tugas berat mempertahan dan menyelamatkan aqidah umat daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Deklarasi ini dimaktubkan pada hari ini 24 Zulkaedah 1432 bersamaan dengan 22 Oktober 2011.


Semoga Allah memilih kita sentiasa bersama-sama orang yang berjuang, kerana itulah tujuan dan maksud hidup kita di dunia ini.:)