Friday, August 12, 2011

Pilihan Di Tangan KIta!


Bismillahirrahmanirrahim...             

              Pada suatu hari nabi Nuh berdoa,"Ya Tuhanku, sesungguhnya mereka telah mendurhakai-ku, dan telah mengikuti orang-orang yang harta dan anak-anaknya tidak menambah kepadanya melainkan kerugian belaka,  dan melakukan tipu-daya yang amat besar. Dan mereka berkata: "Jangan sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwaa`, yaghuts, ya`uq dan nasr". Dan sesudahnya mereka telah menyesatkan kebanyakan (manusia); dan janganlah Engkau tambahkan bagi orang-orang yang zalim itu selain kesesatan.”

             Pada saat itu, nabi Nuh berasa amat sedih. Usahanya selama 950 tahun berdakwah kepada kaumnya hanya mampu memikat hati tidak lebih dari seratus orang sahaja untuk beriman kepada Yang Maha Esa. Seruan nabi Nuh tidak menambah iman kebanyakan daripada meraka malah membuatkan mereka lebih lari daripada kebenaran. Segala cara dakwah yang telah dilakukan oleh Sang Nabi ini, baik dari segi terang-terangan, secara terbuka mahupun secara diam-diam, mereka tetap tidak mahu beriman kepada Allah S.W.T..  Tatkala nabi Noh menyampaikan risalah yang diturunkan kepadanya, kaumnya memasukkan anak-anak jari ke dalam telinga mereka dan menutupkan baju merka ke wajah-wajah mereka.

            Akhirnya, Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan hambanya ini, memerintah kan kekasih-NYA itu untuk bersama-sama para pengikutnya, membina sebuah kapal yang begitu besar. Namun, orang-orang yang beriman yang terdiri dari kelompok yang begitu kecil ini, tetap lagi di uji oleh Allah. Mereka di cemuh, di cerca, di ejek malah di katakan gila oleh kaum sendiri gara-gara membina sesuatu yang tidak ada faedahnya bagi mereka.  "Wahai Nuh! Sejak bila engkau telah menjadi tukang kayu dan pembuat kapal?Bukankah engkau seorang nabi dan rasul menurut pengakuanmu, kenapa sekarang menjadi seorang tukang kayu dan pembuat kapal?Dan kapal yang engkau buat itu di tempat yang jauh dari air ini adalah maksudmu untuk ditarik oleh kerbau ataukah mengharapkan angin yang akan menarik kapalmu ke laut?” Sungguhpun begitu, mereka tidak menghiraukan segalanya itu, kerana mereka yakin, janji Allah pasti akan sampai, dan Dia akan menyelamatkan hamba-hambanya yang beriman.

           Dan waktu yang di janjikan pun tiba. Janji Allah itu benar dan ia berlaku. Allah betul-betul membantu hamba-hamba-NYA yang beriman. Dan Allah betul-betul menghapus dan membinasakan makhluk-makhluknya yang kufur ingkar. Pada waktu banjir besar itu, jelas dan terbuktilah, golongan yang menjadikan Nabi dan golongan yang beriman itu sebagai teman setia mereka telah terselamat dan benar-benar menerima bantuan dan rahmat Allah. Mereka di redhoi dan di kasihi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Pada waktu itu, jelas dan terbukti juga golongan yang menjadikan syaitan dan golongan yang kufur ingkar sebagai teman rapat, dan menjadikan mereka sebagai tempat bergantung harap, tidak terselamat dan benar-benar telah dibinasakan. Mereka dimurkai dan dibenci oleh Tuhan yang Maha Kuat dan yang Maha Gagah!!

            Lihatlah, bagaimana nasib dua golongan kaum nabi Nuh ini, yang telah diceritakan lengkap oleh Tuhan Yang Maha Mengetahui di dalam al-quran. Dua gologan yang begitu berbeza, satu golongan yang menjadikan Nabi dan orang-orang yang beriman sebagai teman rapat,dan satu lagi golongan yang menjadikan syaitan dan orang yang durhaka pada Tuhan sebagai teman setia mereka.

           Maka, orang yang kita pilih sebagai teman lah yang akan membentuk diri kita. Pemikiran, akhlak, gaya hidup, cara pemakaian, dan sebagainya, sebahagian besarnya dipengaruhi oleh teman-teman yang ada di sekeliling kita. Bagaimana Allah sentiasa mengingatkan bahawa pengaruh rakan ini sentiasa akan membawa sama ada kepada keburukan atau kebaikan. Masih ingatkah kita pada firman Allah S.W.T. di surah al-kahfi ayat 28? 

“Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

          Jadi, apa pilihan kita? Adakah kita mahu pilih teman yang sentiasa ingatkan kita tentang Tuhan, atau teman yang hanya buatkan kita lupa bahawa kita ada Tuhan? Teman yang baik ini sentiasa ingatkan kita tentang Pencipta, tegur saat kita lupa dan leka, bersama-sama berjalan dalam menunaikan tanggungjawab daie yang diamanahkan dan membantu tatkala diri memerlukan. Tetapi teman yang lalai adalah teman yang sentiasa mempamerkan bahawa dunia ini adalah segalanya, nafsu itu adalah raja, hiburan itu adalah makanan rohaninya, dan mati itu seolah-olah tidak akan kunjung tiba.


Jadi, pilihlah teman jenis apa yang kita mahukan, kerana pilihan sepenuhnya ditangan kita!!

p/s: sedang menggagahkan diri untuk update blog semasa bercuti di rumah ni..InsyaAllah di lain masa akan menulis dengan lebih lanjut lagi tentang pentingnya dalam memilih teman..=)