Thursday, December 22, 2011

Tempat Kita Sudah Terbakar!

BIsmillahirrahmanirrahim…

Di suatu daerah, terdapat satu bandar besar yang terkenal dengan kehebatannya dan suasana di dalam Bandar itu sungguh harmoni. Penduduknya hidup dengan aman damai dan  penuh sentosa.  Bandar tersebut juga amat terkenal dengan kemajuannya jika di banding dengan Bandar-bandar yang terdapat disekelilingnya. Namun, ditakdirkan Allah, pada suatu hari Bandar tersebut dilanda kebakaran yang hanya bermula dengan kebakaran yang kecil, tapi kebakaran tersebut semakin merebak setiap saat.

Sungguhpun begitu, sikap dan tindakan setiap orang dalam Bandar tersebut berbeza-beza. Mereka seakan-akan berpecah-pecah kepada beberapa golongan. Golongan yang pertama ialah terdapatnya beberapa kelompok  yang cuba sedaya upaya memadamkan kebakaran yang semakin marak itu secara satu kumpulan. Setiap kelompok itu ada ketua mereka yang sentiasa mengetuai operasi pemadaman api tersebut. Setiap ahli sedaya upaya menggunakan segala potensi dan kudrat mereka demi menyelamatkan Bandar mereka yang tercinta. Sungguhpun begitu, setiap kelompok ini berbeza-beza pula cara atau metod yang digunakan untuk memadamkan api tersebut. Ada yang lambat, dan ada yang cepat. Ada yang semakin nampak keberkesanan metod yang digunakan, dan ada juga kelihatan seolah-olah metod yang digunakan tidak berkesan. Namun, niat setiap kumpulan itu tetap sama, iaitu mahu menghalang dan memadam kebakaran tersebut.

Dalam suasana yang semakin huru-hara itu juga, terdapat golongan kedua ini, iaitu golongan yang mahu memadamkan kebakaran secara individu. Tidak beminat untuk menyertai kelompok-kelompok di golongan pertama, kerana mungkin mereka lebih senang untuk bertindak secara berseorangan. Jadi, tidak lah begitu besar yang dapat disumbangkan kerana baldi yang digunakan untuk memadamkan api itu terlalu kecil. Tapi, niat manusia di dalam golongan ini tetap sama, ingin memadamkan juga api yang marak itu. Namun, apa yang menyedihkan adalah golongan pertama dan kedua ini adalah golongan minority di dalam Bandar tersebut. Mereka yang sedar untuk menyelamatkan Bandar dan penduduk tersebut tidak ramai.  Mereka-mereka yang di dalam kelompok yang sedikit  inilah yang sanggup berkorban harta bahkan nyawa mereka demi mencapai matlamat mereka iaitu memadamkan kebakaran tersebut.

Jadi, di mana penduduk-penduduk yang ramai itu? Di sana terdapatnya golongan yang lari ke atas bukit dan duduk diam memerhatikan gelagat orang yang sedang memadamkan kebakaran. Di sana juga, terdapat golongan yang juga  lari ke atas bukit dan hanya memberi komen, mencaci, membantah segala usaha yang dilakukan oleh orang yang memadam kebakaran tanpa melibatkan diri walaupun sedikit dalam memadamkan kebakaran tersebut. Terdapat juga di sana suatu golongan yang terus duduk di dalam Bandar, tanpa sedari yang diri dalam bahaya. Terus seronok bermain-main. Ada juga keluarga yang terus duduk selesa kerana kononnya rumah nya tak terkena percikan api, tanpa juga dia sedari ahli keluarga dan sanak saudara ada yang sudah hangus terbakar.

Alangkah sedihnya lagi, apabila terdapat juga golongan yang futur, penat padamkan kebakaran kerana merasakan yang usahanya tak akan berhasil. Lalu dia berlari ke atas bukit dan duduk diam di situ. Dan ada juga golongan yang futur ini disebabkan terpengaruh dengan keseronokan yang masih tersisa di dalam Bandar itu. Lalu, berseronoklah mereka-mereka yang berputus asa ini tanpa sedari perbuatan itu adalah seakan-akan  membiarkan sahaja diri mereka dimamah api. Apa yang mengejutkan juga, terdapat golongan golongan yang lari ke bukit dan duduk bertafakur dan berdoa dengan mengaharapkan supaya Allah memadamkan kebakaran itu dengan secara tiba-tiba. Dan ada juga golongan yang lari ke atas bukit bersama ahli-ahli keluarga dan sanak saudara, dan terus berseronok duduk diam di sana kerana tahu yang ahli keluarga mereka semuanya selamat sejahtera.

Akhir sekali, golongan yang terakhir yang terdapat dalam Bandar tersebut adalah golongan jahat yang terus berada di dalam Bandar yang terbakar itu . Mereka ini dengan sengaja menuangkan lagi minyak tanah ke atas api. Pelik dan di luar jangkauan pemikiran manusia kerana ada juga golongan-golongan  yang menyokong mereka-mereka yang jahat ini.Lalu terjadilah suatu episode kebakaran yang begitu besar tetapi manusia yang bejuang untuk memadamkannya adalah suatu kuantiti yang amat sedikit.


Wahai saudara-saudaraku, apa pendapat kalian mengenai kelompok-kelompok selain golongan pertama dan kedua ini? Pentingkan diri? Langsung tidak ambil kisah mengenai diri, keluarga dan orang sekeliling?

Apakah kita sedar, hakikatnya Negara kita khususnya juga telah mengalami ‘Kebakaran’ yang sangat dahyat? Sangat-sangat dahsyat! Negara kita telah ‘dibakar’ dengan api hedonism, pluralism, liberalism, secularism, kristianisasi, budaya songsang gay dan lesbian, pornography, zina, buang bayi, minum arak, judi, ketagihan dadah, sumbang mahram dan banyak lagi. Jadi, sekarang kita Tanya diri kita sendiri. Kita ni di kelompok yang mana? Adakah kita bersama-sama dengan golongan yang pertama, berjuang di dalam satu organisasi yang tersusun bagi memadamkan api-api yang membakar Negara kita ini? Atau kita hanya menjadi orang-orang yang hanya memandang dan duduk senyap merasakan seperti tiada apa-apa yang berlaku? Atau juga kita ni hanya orang yang bijak bersuara membantah itu dan ini akan usaha orang lain tanpa menyumbang walau sedikit pun? Umpama tin yang kosong, hebat suaranya namun kosong isinya? Atau diri kita ini berada bersama-sama orang yang terus leka dibuai nikmat dunia tanpa kita sedar bahawa semuanya itu hanya kekal sementara? Adakah kita ini adalah pemuda yang telah tertipu dengan agenda golongan jahat dan akhirnya membuat diri terus lalai dengan menghadiri konsert-konsert nyayian artis2 terkenal, menonton movie2 korea, dengar lagu2 justien bieber, asyik dengan games PS3, leka dengan cinta remaja dan sebagainya?

Jadi akhirnya, persoalan-persoalan tersebut hanya mampu dijawab oleh diri kita sendiri. Sama ada kia hendak terus berada dalam keadaan yang terus lalai dan leka, atau kita bersama-sama berganding bahu, dengan menggunakan segala potensi yang ada pada diri untuk menyumbang kepada Islam dan seterusnya memadamkan segala api-api musuh yang melanda umat pada hari ini. Ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya telah berjanji bahawa kemenangan itu pasti akan berpihak kepada Islam yang mulia. Itulah janji dari Maha Perkasa dan Dia tidak pernah memungkiri janji-janji-Nya. Jadi, pilihlah sama ada kita hendak bersama-sama di pihak yang berjuang atau di kelompok yang hanya memandang. Pilihan sepenuhnya di tangan kita!

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar” (surah an-nisa’: 95)

Membangun umat Beragenda!  
 Wallahua’alam.