Wednesday, January 25, 2012

Ya, Kita Lawan!

Bismillahirrahmanirrahim..

Kaum Muslimin ketika itu tidaklah begitu bersedia dan kelengkapan yang mereka bawa tidaklah begitu lengkap. Rasulullah ketika itu keluar dari kota Madinah hanya bersama-sama 313 muslimin iaitu 82 dari golongan muhajirin, 61 orang dari kaum al-Aws dan 170 orang dari kaum al-khazraj. ‘Mind set’ mereka ketika itu bukanlah untuk pergi berperang, tetapi hanya untuk menawan kafilah dagang yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Maka padanlah dengan kelengkapan yang kaum muslimin bawa, hanya 2 ekor kuda tunggangan, dan  70 ekor unta yang ditunggang secara bergilir-gilir untuk 2 atau 3 orang.

Namun, lawan mereka di Mekah, lain pula ceritanya. “Apakah Muhammad fikir kafilah kita itu seperti kafilah al-hadhrami??” Dengan mudah boleh direbut dari tangan kita?” itulah antara teriakan semangat pihak kafir Quraisy sebaik sahaja mendapat berita tentang kemaraan tentera Rasulullah untuk menawan kafilah Abu Sufyan. Nah, segala tenaga dikerah habis-habisan, semua pemuka Quraisy ketika itu keluar untuk menyerang kaum muslimin kecuali Abu Lahab yang hanya menghantar penggantinya, kabilah-kabilah Arab disekeliling Mekah digerakkan untuk bersama-sama maju dengan pihak kafir Quraisy sehingga menjadikan kekuatan tentera kafir mekah pada permulaanya adalah berjumlah 1300 orang (300 orang menarik diri di pertengahan jalan).  Mereka-mereka ini adalah barisan tentera yang telah di ‘set’ kan minda mereka untuk berperang menghancurkan pihak Muslimin. Dengan maksud itu, 100 ekor kuda telah disediakan, 600 perisai telah diagihkan dan bilangan unta yang begitu banyak telah dibawa bersama sehinggakan tidak dapat dipastikan bilangannya secara tepat. Kemudian, tentera kuffar ini bergerak menuju ke Badar dengan dipimpin oleh pemimpin mereka, Abu Jahal bin Hisyam. Allah merakamkan penghinaan terhadap pergerakan mereka ini di dalam Al-Quran:

“ Dengan penuh lagak sombong menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, serta mereka menghalangi manusia dari jalan Allah.”         (al-Anfal: 47)

Begitulah ketetapan Allah. Allah mahu tentera Muslimin yang tidak lengkap bersenjata itu bertempur dengan tentera kafir Quraisy yang siap siaga dari segenap aspek untuk berperang. Kaum Muslimin tiada lagi pilihan. Berundur pulang ke Madinah bukanlah suatu pilihan yang bijak. Pastinya tidak boleh berundur! Sekiranya pihak muslimin ketika itu membiarkan kaum kafir Quraisy untuk terus bermaharajalela, maka ia akan menyebabkan mereka akan terus berkuasa, memberi laluan kepada mereka untuk terus menzalimi umat Islam sepuas-puasnya dan yang lebih penting adalah ia akan melemahkan pengaruh umat Islam serta menjatuhkan maruah dan kredibiliti gerakan Islam itu sendiri. Malah, sekiranya tentera Islam berundur, tidak mustahil tentera Kafir Quraisy akan maju hingga ke Madinah dan seterusnya memberi kesan yang amat buruk kepada Negara Islam itu.

Lalu, Rasulullah mengadakan mesyuarat bersama-sama para sahabat bagi mendapatkan pandangan mengenai langkah yang perlu diambil oleh mereka saat itu. “Kita Lawan!” kata Abu Bakr selaku pimpinan tentera ketika itu. Kemudian, dengan tegas Umar al-Khattob  menyahut, “Ya, Kita lawan!”. Sebaik pihak muslimin mendengar sahutan semangat dari Abu Bakr dan Umar, bangun pula seorang lagi pimpinan dari muhajirin iaitu al-Miqdad bin Amru, dan beliau berkata “Sesungguhnya kami akan bersama-sama denganmu Rasulullah, demi Allah kami tidak akan berkata kepada mu sepertimana Banu Israil berkata kepada Musa: pergilah dikau bersama Tuhan kau, dan peranglah kamu berdua, kami akan tunggu di sini. Tetapi kami akan berkata: Ayuh maralah dikau bersama Tuhan kau dan berperang, demi Dia, Tuhan yang telah mengutuskan dikau dengan kebenaran, seandainya tuan membawa kami ke ‘Birak al-Ghimad’, nescaya kami bertempur bersama tanpa menghiraukan apa pun, sehinggalah kita sampai ke sana.”  Alangkah kental nya iman mereka ketika itu. Dunia bukan lagi berada diingatan, tetapi mati syahid yang menjadi igauan.

Setelah itu, Rasulullah seolah-olah mahu mendengar pendapat dari pimpinan Ansar pula. Antara sebab Rasulullah mahu mendapatkan pandangan dari pihak Ansar adalah kerana mereka adalah golongan majority tentera Islam dan juga kerana di dalam perjanjian al-Aqobah tidak menuntut mereka untuk berperang di luar kawasan Madinah.

“Asyiruni ayyuhannas (Wahai kalian, berilah pandangan kamu)”, pinta Rasulullah. 

Maka bangunlah seorang pemuda Ansar, pembawa panji tentera Islam ketika itu, Sa’d bin Muaz, dan beliau terus berkata, “Demi Allah,bagaikan tuan hamba  memaksudkan kami?”

“Bahkan”, jawab Rasulullah.

Maka ketika itu, terungkaplah suatu kata-kata yang cukup hebat dari seorang pemuda yang hanya sahaja bertemu dengan Rasulullah kurang dari dua tahun bagi membuktikan kecintaan dan penyerahan secara totalnya pada Allah dan Rasul-Nya.

“Boleh jadi dikau, wahai Rasulullah merasakan bahawa pihak Ansar berpendapat sokongannya kepada kau hanya di perkarangan kampung mereka sahaja, di sini aku ingin menegaskan bagi pihak Ansar dan menjawab bagi pihak mereka: Ayuh bergeraklah ke mana sahaja,hubungilah siapa yang kau suka, putuskanlah hubungan dengan sesiapa yang kau suka, ambillah harta kami sesuka dikau, tinggalkanlah kadar mana harta-harta itu kepada kami sesuka hati mu, sesuatu yang kau ambil dari kami, adalah paling kami senangi lebih dari apa yang kau tinggalkan, sesuatu yang kau perintahkan itu, maka urusan kami adalah ikutan kepada suruhan itu, demi Allah sekiranya kau membawa kami untuk sampai di Birak al-Ghimad nescaya kami turuti dan demi Allah seandainya kau membawa kami mengharungi lautan, nescaya kami harungi!”

SubhanaAllah, alangkah terharunya Rasulullah ketika itu. Lalu Rasulullah bersabda, “Demi Allah, sekarang bagaikan daku sedang menyaksikan kemusnahan kaum musyrikin”.



Maka, sekarang ajukan soalan kepada diri kita sendiri, sejauh mana cinta kita  kepada Allah dan Rasul-nya? berapa banyak sumbangan kita kepada Islam sebagai bukti cinta kita kepada-Nya? Ayuh pemuda, bangkit dan berusaha sebaik mungkin untuk bersama-sama memberi sumbangan kepada sesuatu yang telah pun dijanjikan Allah dan Rasul-Nya, iaitu kemenangan yang mutlak kepada Islam yang tercinta!

“Membangun Umat Beragenda”