Wednesday, July 13, 2011

Apache Bukan Lagi Senjata Mereka!

Bismillahirrahmanirrahim..

“Kematian itu sama, baik disebabkan Apache ataupun kanser. Kita semua menantikan saat akhir kehidupan kita. Tidak ada apa yang akan berubah. Sekiranya diberi pilihan sama ada mati akibat serangan Apache atau serangan jantung, saya lebih memilih Apache!!”

Kebanyakan dari kita semua kenal pada pengungkap kata-kata di atas. Seorang mujahid yang telah pun menyerahkan seluruh jiwa dan raganya demi Islam. Ya, keseluruhannya! Seorang manusia yang tidak kenal erti penat, takut, rehat dan bersenag- lenang.  Apa sahaja halangan dan rintangan yang ada di hadapannya, dan cuba untuk memusnahkan agenda hidupnya, pasti akan dirempuh dan dilawan tidak kira siapa dan apa bentuk sekalipun. Setiap darah yang mengalir dan luka yang  terpalit pada anggotanya pasti menjadi saksi pada keberanian si mujahid pencinta syurga ini. Seorang manusia yang terus meninggal jauh segala kemewahan dan kemanisan dunia, seorang insan yang kelihatan seolah-olah mencari-cari dimanakah bahaya dunia, apakah segala beban yang akan meletihkan segala anggotanya, dimanakah hendak dicampakkan segala wang dan harta habuan manusia, siapakah musuh durjana yang akan mencarik dan merobek luka di badannya?? Kesemuanya yang dilakukan oleh ‘si Singa’ ini adalah semata-mata mencari cinta hakiki “ Sang Pemilik” duniawi, memperoleh syafaat di akhirat dariapda Sang Nabi, dan mendapatkan nikmat syurga al-a’la Firdausi;  kerana bagi beliau kesemuanya itulah kebahagiaan yang kekal abadi. Ya, pengungkap kata di atas adalah seorang pejuang bumi suci palestin, Dr. Abdul Aziz Rantisi.



Inilah harga seorang manusia yang cukup menggerunkan para musuhnya. Nilai- nilai yang ada pada dirinya sudah cukup bagi membangunkan rijal, demi melawan dan menentang segala bentuk perancangan kaum yahudi di bumi palestin.  Kesungguhan dan semangat saff pejuang yang dibina insan mulia ini telah banyak menyusahkan dan menggugat serangan musuh-musuh Allah, bagi merampas bumi al-aqsa, kiblat pertama umat islam sedunia.  Namun, pada tanggal 17 April 2004, tentera zionis telah  pun menamatkan riwayat hidup pejuang ini dengan melancarkan serangan melalui apache tepat ke arah beliau. Itulah kesudahan yang dinanti dan diimpi setelah usia jihad dan peperangan yang begitu panjang. Sungguh, Allah memakbulkan kata-kata beliau, mati sebagai syahid di jalan Allah dengan jasad dimamah apache.



Lihatlah, bagaimana musuh Allah begitu membenci manusia ini. Bagi mereka, beliau ini harus MATI! Walaupun pelbagai cara yang digunakan,termasuklah dipenjara beberapa kali dan menjadi buruh paksa, ia sedikit pun tidak melemah apatah lagi mahu melenyapkan semangat juang yang sudah sebati di dalam diri Dr Abdul Aziz ini. Jadi, Apache adalah solusi mereka yang terakhir.

Wahai saudara-saudaraku, manusia hari ini seolah-olah tiada semangat juang yang setara dengan manusia syahid ini. Majoriti umat pada hari ini seakan-akan telah dibuai mimpi dengan nikmat dunia, apatah lagi mahu bersama-sama membangun dan memartabatkan Islam di muka bumi. Umat islam terus hanyut dengan alam buatannya sendiri, tanpa sedar dirinya telah terus terpelosok jauh ke dalam bumi sehingga tidak nampak lagi cahaya yang mana satu  haq dan mana satu yang batil. Mereka seolah-olah terlalu asyik dengan dibuai dan dilayan dengan HIBURAN yang berlebihan   sehingga kesemuanya itu melalaikan. YA! PUNCANYA ADALAH HIBURAN!! Hiburan yang membuatkan ramai anak muda hari ini lupa dengan tanggungjawab mereka dengan Allah, alpa dengan tugas mereka sesama manusia dan membuatkan mereka terus sunyi dalam berjuang meletakkan Islam “ fauqo ‘ala kulli syai’“, iaitu menempatkan Islam berada di puncak paling atas dalam apa perkara sekalipun. Hari ini, musuh-musuh Allah tidak perlu untuk melancarkan senjata bagi melemahkan umat islam, tidak perlu untuk melancarkan serangan apache terhadap pemuda-pemuda Islam, namun dengan menghantar serangan hiburan yang melampau kepada para pemuda, sudah cukup untuk melemahkan mereka dan mematikan terus semangat juang mereka. Mereka memperkenalkan rancangan hiburan realiti, konsert-konsert nyanyian tanpa had, filem-filem yang tidak senonoh, artis-artis korea sebagai pujaan, panggung wayang sebagai rumah kedua, cinta monyet sebagai adat hidup, pergaulan bebas sebagai suatu yang normal dalam masyarakat dan kanak-kanak sebagai alat pelapis penghibur pada masa hadapan. Kesemuanya ini telah berjaya membuatkan ramai anak-anak muda dan tidak kurangnya juga segelintir para dai’e pada hari ini tersungkur menyembah bumi. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w. lebih 1400 tahun yang dulu:

"Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan lautan. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulallah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan takutkan mati."

Oleh itu wahai para pemuda, adakah kita mahu biarkan sahaja musuh Islam menggunakan hiburan ini sebagai senjata ampuh mereka? Adakah kita merelakan sahaja diri kita dibuai oleh hiburan yang melekakan ini? Apakah kita hendak terus menerus membiarkan diri kita menjadi hamba kepada hiburan dan terus melupakan tanggungjawab sebagai khalifah sebagaimana yang telah diikrarkan? Tidak salah untuk berhibur, tetapi biarlah hiburan itu selari dan seiring dengan apa yang telah disyariatkan. Lihatlah apa kesanya pada umat islam pada hari ini akibat terpengaruh dengan hiburan melampau ini. Statistik menunjukkan meningkatnya kes buangan bayi, kes zina, khalwat, budaya gay dan lesbian, penagihan dadah, rempit, bohsia dan macam-macam lagi. Apakah kita redho untuk melihat anak bangsa kita akan terus rosak dan dihanyutkan dengan alam hiburan buatan musuh Islam ini? Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri semoga kita terus diberi petunjuk dan hidayah oleh “Pemilik Hidayah”. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memerangi segala bentuk hiburan yang berlebihan yang membuatkan kita leka dan alpa kepada tugas sebenar makhluk yang bergelar manusia. Sesungguhnya musuh-musuh Allah ini tidak akan pernah leka dan alpa untuk melemahkan umat Islam melalui hiburan ini, kerana bagi mereka cukuplah hiburan itu menjadi alat terpenting untuk menggantikan apache, bagi mematikan hati-hati para umat islam. Ya, cukuplah HIBURAN itu pengganti APACHE!!!

Wallahua’lam
Membangun Umat Beragenda!


No comments:

Post a Comment