Friday, July 8, 2011

Inilah Tuntutan Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim..

                Segala puji ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-NYA dan izin-NYA masih lagi kita dapat menghirup udara dan dapat terus hidup untuk menikmati segala nikmat yang telah ditetap kan oleh-NYA untuk kita. Siapa duga dan siapa pernah meminta untuk  menghirup udara Allah ini? Siapa yang pernah memohon kepada Allah di waktu awal kelahirannya untuk mempunyai sistem yang sempurna di dalam badan nya untuk menjamin kelangsungan hidup nya di dunia ini? Kita mungkin tidak pernah meminta, tapi Sang Pencipta terus memberi. Kita mungkin tidak pernah memohon , tapi Tuhan yang Maha Pemurah, tidak pernah berhenti untuk mengarah segalanya itu, untuk sampai kepada setiap hamba-NYA yang lemah. Hal ini adalah kerana yang Maha Mengetahui itu serba tahu yang sekalian makhluknya ini memerlukan semua itu. Bagaimana kan mungkin manusia itu akan terus hidup tanpa belas kasih-NYA membekalkan segala keperluan untuk hamba-hambanya?  Namun hembusan udara yang keluar masuk itu seakan-akan dilupa oleh  manusia. Segala nikmat yang dikecapi, seolah-olah dipinggirkan oleh para makhlukNYA. Maha suci Allah yang Maha Penyantun dan Maha Pengampun terhadap para hamba-Nya.

                Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan izin-NYA juga berjaya untuk aku memulakan langkahan baru bagi menulis blog ‘Sentuhan Rijal’ ini. Walaupun idea untuk membuatnya telah bermula beberapa tahun yang lepas, tapi faktor ‘MASA’ itu sering menjadi alasan dan halangan yang besar hingga membawa kepada penangguhan blog ini.  Namun, cukuplah ‘Tuntutan Dakwah’ itu menjadi titik pendorong untuk mengisi setiap petak-petak kosong yang masih tidak diisi, bagi menyampaikan risalah yang mulia ini. Tuntutan dakwah yang menuntut supaya setiap pendokong itu, mencuba untuk memaksimumkan penggunaan pelbagai medium, supaya setiap apa yang hendak disampaikan mampu tercapai dengan sebaik mungkin. Selain melalui qudwah, ucapan, program dan aktiviti, medium penulisan juga adalah salah satu wasilah yang terbaik untuk seseorang itu menyampaikan fikiran atau fikrahnya kepada orang lain.  



                Tambahan pula, dakwah ini juga menuntut setiap daripada para daie itu untuk sentiasa meningkatkan dan mengasah segala potensi dalam diri untuk dikerah dan diserah kepada jalan dakwah, kerana ini adalah tugas bagi setiap orang yang mengaku ia adalah khalifah Allah. Maka diriku melihat, dengan menulis ini, mampu meningkatkan potensi penulisan seseorang itu, mendorong seseorang itu untuk terus menambah ilmu bagi disampaikan di dalam penulisannya dan mengasah daya fikir seseorang itu bagi menyampaikan sesuatu dengan cara yang lebih kreatif. SubhanaAllah, alangkah hebatnya seorang blogger itu di sisi pandangan Allah. 

                Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berlumba-lumba bagi mengerjakan kebaikan. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148:
“ Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumba lah kamu dalam kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semuanya. Sungguh Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”

                Cemburunya aku bila melihat ramai sahabat-sahabat yang lain telah lama mendahului dalam bidang penulisan ini. Sudah banyak kebaikan yang telah mereka salur dan hulurkan kepada masyarakat. Maka, adakah aku hanya nak melihat kebaikan tersebut tanpa untuk cuba mencontohinya? Adakah aku tidak mahu terlibat sama dalam perlumbaan bagi merebut redho Allah ini? SubhanaAllah, alangkah indahnya ajaran Islam ini! “eh, kau sure ke, ade orang nak baca blog kau? Kalau tak ade orang nak baca, so, tak kesampaian la hasrat kau untuk menyampaikan benda baik kat orang lain. hehe…..” Sesungguhnya, Allah tidak melihat apakah hasil kita itu, tapi Allah memerhati, adakah kita sudah mula untuk ‘berjalan’; kerana langkahan perjalanan kita itulah yang akan menjadi saksi dan pembela bagi kita di hari kiamat nanti. Cukuplah ia sebagai peringatan untuk diri sendiri kerana mungkin diri ini memerlukan makanan rohani lebih lagi dari orang lain. Semoga Allah mengurniakan keikhlasan di dalam hati kerana tidak akan di terima amalan seseorang anak Adam itu, melainkan tulus ikhlas semata-mata kerana Penciptanya.

“ Ya Allah, sesungguhnya diri ini bukan lah yang terbaik untuk Kau pilih di jalan dakwah ini. Banyak kurangnya diriku ni ya Allah..Tapi, aku betul-betul berharap untuk digolongkan bersama-sama orang lain yang berjuang di jalan para nabi dan rasul-Mu ni. Ya Tuhan, janganlah Kau palingkan hati-hati kami setelah Kau berikan petunjuk kepada kami..” amen..

Wallahua’lam
Terus berusaha mencari Mardhotillah.

No comments:

Post a Comment