Friday, July 22, 2011

Ada Apa Pada NIat!!


Bismillahirrahmanirrahim..

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin ‘Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: 

“Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim) 

Ya, segalanya bermula dengan niat. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah kepada sebesar-besar perkara, semuanya itu dinilai oleh Allah berdasarkan apa yang terbit dari hati seseorang itu. Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila sesuatu ibadah yang dilakukan, tetapi tidak di terima Sang Pencipta hanya dek kerana hati tidak ditujukan tulus ikhlas kerana-NYA.

Apabila berbicara mengenai ‘ikhlas’, Ya Allah,  ia adalah sesuatu yang sukar. Namun, ia perlu dilatih. hamba Allah mana yang tidak mahu amal keseluruhannya diterima oleh Allah? Manusia yang beriman mana yang tidak mahu timbangan mizannya berat kerana ibadah yang diterima oleh Allah?  Umat Muhammad yang mana satukah yang tidak bangga di hari kiamat nanti amal-amalnya menjadi asbab untuknya mendiami syurga Allah? Mustahil! Semua dalam kalangan kita ini pastinya mengimpikan perkara tersebut.Jadi, ikhlas dalam beramal adalah kuncinya!

Di dalam kehidupan seharian kita, setiap kali hendak melakukan sesuatu kebaikan, ingatlah bahawa pada saat itu kita akan diuji. Syaitan pada ketika itu sentiasa membisik-bisikkan supaya amal yang di lakukan itu bukan bertujuan untuk mencari redha al-Kholik, tetapi untuk mendapat kan balasan daripada al-makhluk yang pada hakikatnya tidak memberatkan walau sedikitpun timbangan mizan kita di hari pengadilan kelak.
Oh niat! Betapa besarnya fungsimu dalam hidup kami. Mari kita lihat fungsi-fungsi niat secara ringkas sebelum kita pergi lebih jauh.

(1)    Menyempurnakan
Sempurnanya amal adalah dengan adanya niat.  Niat adalah rukun dalam setiap ibadah. Tanpa niat, maka tidak sempurna ibadah seseorang itu.

(2)    Mengubah
Hanya dengan niat sahaja, amal yang baik mampu berubah kepada buruk. Sebagai contoh, sedekah itu adalah suatu yang amat baik. Tetapi, sekiranya dilakukan kerana ingin menunjuk-nunjuk pada manusia lain, maka amal itu amat dipandang jijik oleh Allah.
Tetapi ingat, dengan niat yang baik, tidak sesekali akan mengubah keburukan kepada kebaikan. Sebagai contoh, konsert rock amal. Walaupun niat untuk membantu golongan yang susah dengan dana yang diperoleh itu adalah baik, tetapi dengan cara mengadakan konsert yang bergaul berlainan jantina secara bebas itu adalah sesuatu yang tidak dibenarkan dalam islam. Niat tidak menghalalkan cara.

(3)    Membezakan
Niat membezakan antara adat dan ibadah. Contohnya, sekiranya seseorang itu makan tanpa meniatkan apa-apa, maka makannya itu adalah adat. Tetapi, sekiranya makannya itu di niatkan untuk mendapatkan kekuatan untuk melakukan ibadah selepas itu, maka makannya itu dikira sebagai ibadah kepada Allah.

(4)    Membesarkan/Melipatgandakan
Amal yang kecil, kadang-kadang boleh menjadi besar hanya kerana niat. Contohnya, seseorang yang menyumbang RM1  untuk membantu pembangunan masjid, dan dia melakukan itu hanyalah semata kerana Allah, maka percayalah, nilai sumbangannya itu adalah amat besar di sisi Allah. Sebaliknya, seseorang yang menyumbang RM 10 000 untuk tujuan menunjuk-nunjuk, di sisi Allah sumbangan itu adalah amat kecil. Ingatlah, betapa banyaknya amal yang kecil menjadi besar gara-gara niat; dan betapa banyaknya amal yang besar menjadi kecil juga gara-gara niat.







SubhanAllah, betapa besarnya peranan niat ini dalam kehidupan kita. Jika kita lihat hadis di atas, para ulama’ telah menukilkan bahawa ada seorang lelaki yang berhijrah dari Mekah ke madinah bukan bertujuan untuk memperolehi kelebihan dan ganjaran hijrah. Tetapi dia berhijrah demi mengahwini seorang wanita bernama ummu Qais. Lalu beliau digelar ‘Muhajir ummu Qais’ (riwayat at-thobarani).


Sekiranya kita lihat realiti masa kini, dalam konteks seorang pelajar, apakah niat kita menuntut ilmu? Adakah semata-mata untuk mendapatkan segulung ijazah, mandapatkan pekerjaan yang hebat, beli rumah besar, pandu kereta mewah dan supaya dapat kumpul duit untuk menjamin masa tua kita kelak? Saya tidak mengatakan tujuan itu salah, tetapi adakah hanya sesempit itu maksud tujuan kita menuntut ilmu? Sekiranya hanya itu yang kita niat kan untuk mempelajari ilmu ini, maka tanyakan pada diri sendiri, apa beza nya tujuan belajar kita dengan tujuan belajar orang lain yang tidak beriman dengan Allah sebagai pencipta dan pentadbir sekalian alam? Adakah tidak sedikit pun di dalam lubuk hati kita meletakkan menuntut ilmu sebagai menyahut seruan cinta daripada Allah, yang mana Allah akan  menjanjikan darjat yang lebih tinggi bagi orang- orang yang berilmu? Allah berfirman dalam surah al-mujadilah ayat 11:

“…nescaya Allah akan mengangkat (darjat) orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang BERILMU beberapa darjat. Dan Allah Maha teliti apa yang kamu kerjakan”


Selain itu juga, tidak kah sedikit pun di dalam hati kita meletakkan ruang untuk menjadi pembela kepada ummat setelah kita berjaya? Atau tidakkah ada sekelumit di dalam sanubari untuk menjadi penyumbang sama ada dalam bentuk harta, ilmu mahupun tenaga setelah tamat pengajian kelak sepertimana yang telah dilakukan oleh para sahabat pada ketika dahulu. Abu Bakar menyerahkan seluruh hartanya dalam peperangan menentang kaum kafir dan Abdul Rahman bin Auf menyumbang dan menginfa’kan hartanya yang banyak demi menegakkan kalimah Allah. Cukuplah golongan sahabat yang mana Rasulullah menyifatkan mereka sebagai sebaik-baik generasi menjadi contoh buat kita dalam meniti hari-hari di bumi Allah ini.

Oleh itu, ayuh kita semua belajar, berusaha dan melatih untuk  sentiasa ikhlas dalam setiap amal yang di lakukan supaya pada hari akhirat kelak, kita menghadap Allah dengan wajah yang berseri-seri untuk mempersembahkan amal-amal yang tulus ikhlas semata-mata kerana-NYA. Ya, semata-mata kerana-NYA!!

Katakanlah: Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya dan dengan yang demikian saja aku diperintahkan dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang menyerah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya)
(Surah al-An'am, ayat 162 hingga 163). 

Wednesday, July 13, 2011

Apache Bukan Lagi Senjata Mereka!

Bismillahirrahmanirrahim..

“Kematian itu sama, baik disebabkan Apache ataupun kanser. Kita semua menantikan saat akhir kehidupan kita. Tidak ada apa yang akan berubah. Sekiranya diberi pilihan sama ada mati akibat serangan Apache atau serangan jantung, saya lebih memilih Apache!!”

Kebanyakan dari kita semua kenal pada pengungkap kata-kata di atas. Seorang mujahid yang telah pun menyerahkan seluruh jiwa dan raganya demi Islam. Ya, keseluruhannya! Seorang manusia yang tidak kenal erti penat, takut, rehat dan bersenag- lenang.  Apa sahaja halangan dan rintangan yang ada di hadapannya, dan cuba untuk memusnahkan agenda hidupnya, pasti akan dirempuh dan dilawan tidak kira siapa dan apa bentuk sekalipun. Setiap darah yang mengalir dan luka yang  terpalit pada anggotanya pasti menjadi saksi pada keberanian si mujahid pencinta syurga ini. Seorang manusia yang terus meninggal jauh segala kemewahan dan kemanisan dunia, seorang insan yang kelihatan seolah-olah mencari-cari dimanakah bahaya dunia, apakah segala beban yang akan meletihkan segala anggotanya, dimanakah hendak dicampakkan segala wang dan harta habuan manusia, siapakah musuh durjana yang akan mencarik dan merobek luka di badannya?? Kesemuanya yang dilakukan oleh ‘si Singa’ ini adalah semata-mata mencari cinta hakiki “ Sang Pemilik” duniawi, memperoleh syafaat di akhirat dariapda Sang Nabi, dan mendapatkan nikmat syurga al-a’la Firdausi;  kerana bagi beliau kesemuanya itulah kebahagiaan yang kekal abadi. Ya, pengungkap kata di atas adalah seorang pejuang bumi suci palestin, Dr. Abdul Aziz Rantisi.



Inilah harga seorang manusia yang cukup menggerunkan para musuhnya. Nilai- nilai yang ada pada dirinya sudah cukup bagi membangunkan rijal, demi melawan dan menentang segala bentuk perancangan kaum yahudi di bumi palestin.  Kesungguhan dan semangat saff pejuang yang dibina insan mulia ini telah banyak menyusahkan dan menggugat serangan musuh-musuh Allah, bagi merampas bumi al-aqsa, kiblat pertama umat islam sedunia.  Namun, pada tanggal 17 April 2004, tentera zionis telah  pun menamatkan riwayat hidup pejuang ini dengan melancarkan serangan melalui apache tepat ke arah beliau. Itulah kesudahan yang dinanti dan diimpi setelah usia jihad dan peperangan yang begitu panjang. Sungguh, Allah memakbulkan kata-kata beliau, mati sebagai syahid di jalan Allah dengan jasad dimamah apache.



Lihatlah, bagaimana musuh Allah begitu membenci manusia ini. Bagi mereka, beliau ini harus MATI! Walaupun pelbagai cara yang digunakan,termasuklah dipenjara beberapa kali dan menjadi buruh paksa, ia sedikit pun tidak melemah apatah lagi mahu melenyapkan semangat juang yang sudah sebati di dalam diri Dr Abdul Aziz ini. Jadi, Apache adalah solusi mereka yang terakhir.

Wahai saudara-saudaraku, manusia hari ini seolah-olah tiada semangat juang yang setara dengan manusia syahid ini. Majoriti umat pada hari ini seakan-akan telah dibuai mimpi dengan nikmat dunia, apatah lagi mahu bersama-sama membangun dan memartabatkan Islam di muka bumi. Umat islam terus hanyut dengan alam buatannya sendiri, tanpa sedar dirinya telah terus terpelosok jauh ke dalam bumi sehingga tidak nampak lagi cahaya yang mana satu  haq dan mana satu yang batil. Mereka seolah-olah terlalu asyik dengan dibuai dan dilayan dengan HIBURAN yang berlebihan   sehingga kesemuanya itu melalaikan. YA! PUNCANYA ADALAH HIBURAN!! Hiburan yang membuatkan ramai anak muda hari ini lupa dengan tanggungjawab mereka dengan Allah, alpa dengan tugas mereka sesama manusia dan membuatkan mereka terus sunyi dalam berjuang meletakkan Islam “ fauqo ‘ala kulli syai’“, iaitu menempatkan Islam berada di puncak paling atas dalam apa perkara sekalipun. Hari ini, musuh-musuh Allah tidak perlu untuk melancarkan senjata bagi melemahkan umat islam, tidak perlu untuk melancarkan serangan apache terhadap pemuda-pemuda Islam, namun dengan menghantar serangan hiburan yang melampau kepada para pemuda, sudah cukup untuk melemahkan mereka dan mematikan terus semangat juang mereka. Mereka memperkenalkan rancangan hiburan realiti, konsert-konsert nyanyian tanpa had, filem-filem yang tidak senonoh, artis-artis korea sebagai pujaan, panggung wayang sebagai rumah kedua, cinta monyet sebagai adat hidup, pergaulan bebas sebagai suatu yang normal dalam masyarakat dan kanak-kanak sebagai alat pelapis penghibur pada masa hadapan. Kesemuanya ini telah berjaya membuatkan ramai anak-anak muda dan tidak kurangnya juga segelintir para dai’e pada hari ini tersungkur menyembah bumi. Benarlah apa yang telah disabdakan oleh nabi Muhammad s.a.w. lebih 1400 tahun yang dulu:

"Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan lautan. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulallah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan takutkan mati."

Oleh itu wahai para pemuda, adakah kita mahu biarkan sahaja musuh Islam menggunakan hiburan ini sebagai senjata ampuh mereka? Adakah kita merelakan sahaja diri kita dibuai oleh hiburan yang melekakan ini? Apakah kita hendak terus menerus membiarkan diri kita menjadi hamba kepada hiburan dan terus melupakan tanggungjawab sebagai khalifah sebagaimana yang telah diikrarkan? Tidak salah untuk berhibur, tetapi biarlah hiburan itu selari dan seiring dengan apa yang telah disyariatkan. Lihatlah apa kesanya pada umat islam pada hari ini akibat terpengaruh dengan hiburan melampau ini. Statistik menunjukkan meningkatnya kes buangan bayi, kes zina, khalwat, budaya gay dan lesbian, penagihan dadah, rempit, bohsia dan macam-macam lagi. Apakah kita redho untuk melihat anak bangsa kita akan terus rosak dan dihanyutkan dengan alam hiburan buatan musuh Islam ini? Marilah kita sama-sama bermuhasabah dan memperbaiki diri semoga kita terus diberi petunjuk dan hidayah oleh “Pemilik Hidayah”. Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memerangi segala bentuk hiburan yang berlebihan yang membuatkan kita leka dan alpa kepada tugas sebenar makhluk yang bergelar manusia. Sesungguhnya musuh-musuh Allah ini tidak akan pernah leka dan alpa untuk melemahkan umat Islam melalui hiburan ini, kerana bagi mereka cukuplah hiburan itu menjadi alat terpenting untuk menggantikan apache, bagi mematikan hati-hati para umat islam. Ya, cukuplah HIBURAN itu pengganti APACHE!!!

Wallahua’lam
Membangun Umat Beragenda!


Friday, July 8, 2011

Inilah Tuntutan Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim..

                Segala puji ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia-NYA dan izin-NYA masih lagi kita dapat menghirup udara dan dapat terus hidup untuk menikmati segala nikmat yang telah ditetap kan oleh-NYA untuk kita. Siapa duga dan siapa pernah meminta untuk  menghirup udara Allah ini? Siapa yang pernah memohon kepada Allah di waktu awal kelahirannya untuk mempunyai sistem yang sempurna di dalam badan nya untuk menjamin kelangsungan hidup nya di dunia ini? Kita mungkin tidak pernah meminta, tapi Sang Pencipta terus memberi. Kita mungkin tidak pernah memohon , tapi Tuhan yang Maha Pemurah, tidak pernah berhenti untuk mengarah segalanya itu, untuk sampai kepada setiap hamba-NYA yang lemah. Hal ini adalah kerana yang Maha Mengetahui itu serba tahu yang sekalian makhluknya ini memerlukan semua itu. Bagaimana kan mungkin manusia itu akan terus hidup tanpa belas kasih-NYA membekalkan segala keperluan untuk hamba-hambanya?  Namun hembusan udara yang keluar masuk itu seakan-akan dilupa oleh  manusia. Segala nikmat yang dikecapi, seolah-olah dipinggirkan oleh para makhlukNYA. Maha suci Allah yang Maha Penyantun dan Maha Pengampun terhadap para hamba-Nya.

                Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan izin-NYA juga berjaya untuk aku memulakan langkahan baru bagi menulis blog ‘Sentuhan Rijal’ ini. Walaupun idea untuk membuatnya telah bermula beberapa tahun yang lepas, tapi faktor ‘MASA’ itu sering menjadi alasan dan halangan yang besar hingga membawa kepada penangguhan blog ini.  Namun, cukuplah ‘Tuntutan Dakwah’ itu menjadi titik pendorong untuk mengisi setiap petak-petak kosong yang masih tidak diisi, bagi menyampaikan risalah yang mulia ini. Tuntutan dakwah yang menuntut supaya setiap pendokong itu, mencuba untuk memaksimumkan penggunaan pelbagai medium, supaya setiap apa yang hendak disampaikan mampu tercapai dengan sebaik mungkin. Selain melalui qudwah, ucapan, program dan aktiviti, medium penulisan juga adalah salah satu wasilah yang terbaik untuk seseorang itu menyampaikan fikiran atau fikrahnya kepada orang lain.  



                Tambahan pula, dakwah ini juga menuntut setiap daripada para daie itu untuk sentiasa meningkatkan dan mengasah segala potensi dalam diri untuk dikerah dan diserah kepada jalan dakwah, kerana ini adalah tugas bagi setiap orang yang mengaku ia adalah khalifah Allah. Maka diriku melihat, dengan menulis ini, mampu meningkatkan potensi penulisan seseorang itu, mendorong seseorang itu untuk terus menambah ilmu bagi disampaikan di dalam penulisannya dan mengasah daya fikir seseorang itu bagi menyampaikan sesuatu dengan cara yang lebih kreatif. SubhanaAllah, alangkah hebatnya seorang blogger itu di sisi pandangan Allah. 

                Islam mengajar umatnya untuk sentiasa berlumba-lumba bagi mengerjakan kebaikan. Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 148:
“ Dan setiap umat mempunyai kiblat yang dia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumba lah kamu dalam kebaikan. Di mana sahaja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu semuanya. Sungguh Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu”

                Cemburunya aku bila melihat ramai sahabat-sahabat yang lain telah lama mendahului dalam bidang penulisan ini. Sudah banyak kebaikan yang telah mereka salur dan hulurkan kepada masyarakat. Maka, adakah aku hanya nak melihat kebaikan tersebut tanpa untuk cuba mencontohinya? Adakah aku tidak mahu terlibat sama dalam perlumbaan bagi merebut redho Allah ini? SubhanaAllah, alangkah indahnya ajaran Islam ini! “eh, kau sure ke, ade orang nak baca blog kau? Kalau tak ade orang nak baca, so, tak kesampaian la hasrat kau untuk menyampaikan benda baik kat orang lain. hehe…..” Sesungguhnya, Allah tidak melihat apakah hasil kita itu, tapi Allah memerhati, adakah kita sudah mula untuk ‘berjalan’; kerana langkahan perjalanan kita itulah yang akan menjadi saksi dan pembela bagi kita di hari kiamat nanti. Cukuplah ia sebagai peringatan untuk diri sendiri kerana mungkin diri ini memerlukan makanan rohani lebih lagi dari orang lain. Semoga Allah mengurniakan keikhlasan di dalam hati kerana tidak akan di terima amalan seseorang anak Adam itu, melainkan tulus ikhlas semata-mata kerana Penciptanya.

“ Ya Allah, sesungguhnya diri ini bukan lah yang terbaik untuk Kau pilih di jalan dakwah ini. Banyak kurangnya diriku ni ya Allah..Tapi, aku betul-betul berharap untuk digolongkan bersama-sama orang lain yang berjuang di jalan para nabi dan rasul-Mu ni. Ya Tuhan, janganlah Kau palingkan hati-hati kami setelah Kau berikan petunjuk kepada kami..” amen..

Wallahua’lam
Terus berusaha mencari Mardhotillah.